Assalamualaikum, salam sejahtera untuk anda semua.
Tidak kira siapa anda, berapa banyak pengalaman serta pengetahuan yang ada, jangan terus membuat keputusan, menjatuhkan hukum. Yang tersirat kita tak tahu, apa yang kamu lihat dan dengar tak semestinya apa yang kamu sangka.
‘Menuhankan duit’
‘Menyembah duit’
‘Lebih baik cium sejadah’
‘Bila hati telah hitam’
‘Fitnah akhir zaman’
‘Bersangka baik kena lah bertempat’
Ini adalah antara komen-komen netizen pada gambar cium duit yang sedang viral.
Betapa mudahnya kita menghukum dan mengata orang lain hanya dengan melihat beberapa gambar cium duit tanpa perlu tahu apa yang sedang terjadi sebenarnya. Dan betapa mudahnya kita menyebarkan sesuatu yang kita tidak faham dengan tujuan jahat dan memuaskan nafsu yang suka mengaib dan menjatuhkan orang lain.
Bukankah kita disuruh menyiasat setiap berita yang sampai kepada kita? Dan jika ia aib, bukan kah kita di suruh menutupnya? Selagi ia tidak menzalimi orang lain?
Kenapa Perlu Cium Duit?
Bila diterangkan bahawa kelakuan cium duit itu adalah untuk mengambil aura duit, ada lagi yang mempersoalkan NIAT orang yang melakukan cium duit. Niat itu adalah RAHSIA di dalam hati, kenapa kita pasti sangat niat orang itu salah?
Cium duit bererti menyembah duit? Menuhankan duit? Adakah cium sejadah juga bertuhankan sejadah?
‘Cium duit tak ada nas dan dalil, jika ia bertujuan supaya duit datang lebih banyak ia boleh menyebabkan khurafat’, kata pengomen yang alim.
‘Kenapa tidak solat sunat subuh, solat subuh dan solat Dhuha saja?’
Niat. Niat. Niat.
Adakah kita solat kerana Allah atau kerana duit? Mohon sama-sama kita memperbetulkan niat solat kita, hanya lillahitaala sahaja.
‘Rezeki bukan hanya duit, tapi dalam bentuk kesihatan.’
Saudara saudari, kesihatan sudah tentu memerlukan duit bukan? Beli makanan supaya penuh zat, pakaian untuk melindungi tubuh, suplimen untuk menambah kekuatan imun, ubat dan hospital juga memerlukan duit. Pendek kata ada saja produk dan perkhidmatan untuk kesihatan yang memerlukan duit.
‘Utamakan akhirat, letak dunia di tangan, akhirat di hati.’
Baca juga : Teknik Murah Rezeki
Bagaimana anda begitu pasti orang-orang yang mencium duit itu tidak membuat apa-apa untuk akhirat mereka? Kenapa tidak bersangka baik? Mungkin dengan adanya banyak duit, mereka lebih banyak bersedekah, mungkin mereka boleh menjadi usahawan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan.
Ada juga yang bersangka baik dan cuba faham dengan menganggap itu adalah cara orang lain, walaupun mereka sebenarnya tidak faham sepenuhnya. Alhamdulillah..
Ia boleh menjadi fitnah? Ya kepada orang-orang yang suka menjatuhkan hukum sesuka hati dan kepada yang suka bersangka buruk.
Di sini saya ingin berkongsi apa saya faham tentang perlakuan cium duit dalam program motivasi itu walaupun saya tiada di situ dan tidak mengenal orang-orang dalam gambar itu.
Duit adalah ciptaan, apa yang kita cipta juga adalah ciptaan Tuhan. Ciptaan Tuhan adalah makhluk. Jadi duit adalah makhluk. Duit mempunyai beberapa kriteria. Warna, corak, bau, nilai, tulisan dan unsur pembuatannya.
Cium duit lebih kepada ingin mengenal dengan lebih dekat kepada duit, dari segi baunya.
Minda manusia sangat hebat. Oleh itu kaedah-kaedah yang hebat dan luar biasa juga diperlukan untuk memanipulasikannya.
Perasan tak ketika anda menonton rancangan televisyen yang penuh saspen, pada adegan saat-saat kritikal dan di tunggu-tunggu tiba-tiba rancangan itu diberhentikan dan ditayangkan pula iklan penaja? Iklan tersebut sudah pasti dibayar mahal. Kerana pada saat-saat saspen itu lah gerbang minda separa sedar manusia sedang terbuka luas, apa yang dia lihat dan dengar waktu itu akan terakam dalam mindanya untuk suatu jangka masa tertentu selepas itu, mungkin dalam sehari, sebulan atau bertahun. Bayangkan kalau iklan itu balik-balik dimainkan. Ini lah sugesti hipnotis melalui iklan. Anda menjadi ingat dan suka pada barangan yang diiklankan. Jika iklan itu mempunyai kod-kod mesej tersurat, anda juga secara misteri boleh berubah mengikut kehendak pengiklan secara tidak sedar.
Cium duit juga sama, ia adalah satu proses metafizik yang bertujuan melaraskan gelombang otak ke frekuensi tertentu agar ia selalu bergetar pada frekuensi tersebut.
Setiap sesuatu yang kita fikirkan ada frekuensi tertentu, dan fikiran serta hati mempunyai getaran yang boleh menggetarkan tubuh dan alam semesta.
Percayakah anda bahawa alam ini dicipta dengan sistem yang canggih lagi hebat? Itu lah sunnatullah. Setiap kejadian mempunyai setting automatik atau default. Semua sudah ditentukan.
Cara yang anda lakukan dan pemahaman yang anda ada bukan lah satu-satunya kebenaran. Ilmu Allah maha luas.
Jika cium duit tanpa ilmu sambil lupa akan kuasa Tuhan, ia adalah khurafat lagi syirik. Tapi jika ia dilakukan dalam masa yang sama, orang itu tahu bahawa itu hanyalah cara untuk memasukkan wangian duit ke dalam minda separa sedar supaya mereka senang mencari makhluk yang bernama duit itu selepas ini, dan tahu serta percaya bahawa tiada yang bergerak di dunia ini tanpa pertolongan Allah, adakah masih syirik dan khurafat?
Salah kah menjadi kaya? Kenapa menjadi kaya dipandang jijik? Berdosa besarkah menjadi kaya? Ini lah mentaliti yang lemah.
Boleh kah anda hidup satu hari tanpa duit hari ini? Baju yang sedang anda pakai, kereta dan makanan, bukankah hasil duit? Bukankah anda bekerja untuk mendapatkan duit?
Duit bukan segalanya, tapi segalanya memerlukan duit.
Termasuk pembiayaan pelajaran kita, kita bahkan sanggup berhutang untuk belajar ke peringkat tertinggi.
Jangan salahkan duit dan Maha Pencipta, jika makhluk yang bernama duit tidak suka melekat pada anda. Anda yang lebih dulu jijik padanya, menciumnya saja anda tidak boleh, apalagi menyayanginya sebagai makhluk pertukaran barang dan perkhidmatan.
Hargailah duit. Anda mungkin tidak mencium duit. Tapi inilah cara sesetengah orang, termasuk saya sendiri. Apalagi jika duit yang masih baru atau duit dari hasil gaji sendiri. Betapa wanginya dan sayangnya pada makhluk itu. Alhamdulillah atas nikmat dapat cium duit.
Tidak kira siapa kita, berapa banyak pengalaman serta pengetahuan yang ada, jangan terus membuat keputusan, menjatuhkan hukum. Yang tersirat kita tak tahu, apa yang kita lihat, dengar dan rasa tak semestinya yang kita sangka. Marilah mengamalkan sikap saling menghormati.
Salam kasih sayang seluas dan sedalam lautan.
Terima kasih kerana membaca. ❤
Baca Juga 5 Perangkap Ego Yang Menjatuhkan Anda