Dalam jam lebih kurang 7 lebih pagi tadi, ya pertama kali saya merasakan gegaran yang kuat di rumah (Kota Kinabalu). Berlaku masa tengah mandi, situasi gegaran untuk yang pertama kali alami, saya rasa blank dan blur seketika. Dalam situasi begitu, saya sendiri tak terfikir ianya gempa bumi. Dan hanya sedar bila lihat kekecohan di newsfeed FB. Tapi 1 perkara yang pasti, lutut anda akan automatik menggigil dan otak anda macam kosong untuk beberapa saat. Selepas beberapa saat baru anda sedar ianya gegaran dan mestilah panik untuk segera keluar.
Tapi, dalam keadaan lutut ketar-ketar secara auto tu, saya sempat lagi siap-siap dan masih lagi dalam rumah ( Yelah, saya sendiri blur apa yang berlaku)
Namun untuk negara luar yang sering menghadapi situasi sebegini, mereka semestinya dah mempersiapkan langkah-langkah keselamatan. Cuma di Malaysia, jarang sekali berlaku dan apalagi? Kita semua bersikap sambil lewa sahaja. Kann? Bila dah terjadi, minda tak dapat berfikir banyak.
Tips Keselamatan Ini Penting Jika Anda Rasa Gegaran Gempa Bumi
Jadi, saya kongsikan beberapa tips penting untuk anda baca dan jadikan rujukan nanti. Sekiranya terasa macam terhuyung-hayang, mata rasa ke kiri ke kanan, badan rasa tak stabil, kemudian tengok lantai macam bergelombang seperti air (ini perumpamaan saya), ambil tips ini:
Persediaan penting sebelum gegaran:
- Sedia untuk survival diri ( dokumen penting, alat komunikasi, kit pertolongan cemas, powerbank, makanan dan air, dan lain2 ) kerana jika gempa terlalu kuat, elektrik, air, gas dan telefon tidak berfungsi.
- Simpan barang-barang yang boleh membahayakan. Letak di dalam rak/kawasan yang selamat
- Mungkin dah kena fikir pasal insurans? Terutamanya melibatkan property milik anda (hehe)
Semasa gegaran berlaku:
- Tenang dan jangan panik (untuk elak orang lain panik juga)
- Jika anda masih di dalam rumah, segera meniarap ke lantai, berlindung di bawah meja & berpegang pada meja terbabit
- Jarakkan diri anda daripada sebarang perabot contohnya rak buku, perabot dapur untuk elak dihimpap
- Jauhkan diri daripada tingkap (tekanan tinggi mengakibatkan tingkap mudah pecah & merbahaya)
- Jika berada di luar rumah, cari kawasan lapang jauh dari bangunan, pokok dan kabel elektrik. Meniarap ke tanah sebab anda tak boleh berdiri dengan stabil ketika gegaran
- Jika anda sedang memandu, berhentikan kereta di tepi jalan dan cari kawasan lapang yang selamat
- Jika di kawasan pergunungan, akan ada tanah runtuh dan jika di kawasan lautan, potensi untuk tsunami berlaku
- Jika anda berada di tempat awam yang sesak, jangan panik. Kekal tenang, tutup kepala dan leher guna lengan dan tangan anda. Keluar dari bangunan ataupun cari tempat untuk berlindung (contohnya bawah meja)
Selepas gegaran:
- Periksa sekiranya ada bau gas (tutup). Jika ada pendawaian elektrik rosak (matikan suis utama)
- Jika telefon boleh berfungsi, guna hanya waktu kecemasan sahaja.
- Alert bahawa akan ada barang jatuh daripada almari atau almari apabila pintu dibuka. Periksa keretakan dan kerosakan pada bumbung rumah anda.
- Alert dengan perkembangan susulan berkenaan gempa
- Jika anda meninggalkan rumah, jangan lupa untuk maklumkan lokasi anda pada rakan-rakan dan keluarga.
Boleh juga tengok tips melalui gambar di bawah. Semoga dapat membantu semua serba sedikit.