Bagaimana Ibu Ini Tabah Dengan Pemergian Anak Syurga

Kupeluk tubuhmu, kumandikan buat kali terakhir, setiap inci tubuhmu kugosok lembut. Itulah kali terakhir khidmatku buatmu sayang. Tiada lagi air mata yang mengalir di pipi, kerana aku redha melepaskanmu pergi

Saya terdetik untuk kongsikan kisah Puan Suhaila, seorang pensyarah di Politeknik Premier Ibrahim Sultan Johor Bharu, sebaik sahaja kawan saya, Darleen Ramli  kongsi kisah ini di wall FB miliknya. Terdetik kerana saya pernah kehilangan anak walaupun mungkin usia baru 11 minggu ketika itu. Ya, cerita kami berbeza, namun rasa itu sama. Tapi, kami belajar untuk pasrah dan redha. Bagaimana cara saya redha? Itu saya kongsikan di lain hari. Saya ingin kongsikan bagaimana seorang ibu dan wanita ini tabah menghadapi rasa hati kehilangan yang tersayang.

Bagaimana-Ibu-Ini-Tabah-Dengan-Pemergian-Anak-Syurga
Bagaimana-Ibu-Ini-Tabah-Dengan-Pemergian-Anak-Syurga

Bagaimana Ibu Ini Tabah Dengan Pemergian Anak Syurga

Kredit coretan hati kepada FB puan Siti Suhaila Damian

15 Mei 2015

Dalam redha dan gundah ada bahagia.

Hari ini Jumaat bertemu Jumaat. Lapan hari sejak pemergian anakanda Aiman Haziq bertemu Ilahi dan berlarian di taman syurga. Baru ada sedikit kekuatan untuk berkongsi rasa. Tidak mahu menyimpan sedih berpanjangan, saya kongsikan sesuatu yang mungkin dapat menenangkan hati ibu bapa di luar sana yang memelihara dan menjaga anak-anak syurga.

Sungguh, anak-anak syurga ini jelas Allah pelihara di bawah payung rahmatnya. Mana mungkin seorang ibu yang mengandungkan anaknya sembilan bulan tidak merasa sedih dan pilu apabila anugerah yang dipinjamkan sementara ini pergi secara tiba-tiba, sekelip mata tanpa tanda. Mana mungkin tidak hiba.
Mana mungkin tidak ada pilu di lubuk jiwa. Mana mungkin. Mana mungkin tidak bersedih walaupun redha dan rela melepaskannya.

Ya, saya menangis, benar-benar menangis sewaktu suami memegang wajah saya dan meminta saya bersedia. Pada ketika itu Aiman Haziq sedang diberikan bantuan kecemasan hampir 30 minit dan sangat kritikal. Kami memang sudah boleh menerima saatnya dipanggil pulang tetapi bukan semendadak ini.

Terdetik di hati saya ketika itu..
“Ya Allah, sekiranya Kau lebih menyayanginya, aku redha, aku rela dia pergi kerana tidak sanggup melihat penderitaannya. Namun sekiranya Kau masih memberiku peluang untuk menjaganya..berilah peluang itu. Adik…berjuanglah tetapi andai adik tidak mampu bertahan, mama redha”.

Tatkala melepaskan apa yang terdetik di hati, tiba-tiba saya merasa lebih tenang. Saya meminta sekeping kertas daripada staf yang bertugas di kaunter tanpa tahu apa sebabnya. Apabila dipanggil doktor dan menerima khabar Aiman Haziq sudah tiada. Sebak, namun tiada air mata yang keluar kerana hati telah redha. Namun ada juga air mata yang menitik tatkala saya berkesempatan membaca surah Yassin yang dihulurkan oleh staf hospital. Mana mungkin tidak sedih tatkala menatap sekujur tubuh kaku yang diulit setiap hari, kini tidak bergerak di depan mata.

Selesai urusan di hospital, jenazah dibawa ke Hospital Wakaf untuk dimandikan. Di sinilah ada sesuatu yang membuatkan hati saya benar-benar bahagia.

Saya berpeluang memandikannya buat kali terakhir. Tiada setitik najis pun yang keluar. Dua minggu sebelum itu, arwah membuang najisnya dua kali sehari, tidak seperti biasanya sehinggalah sehari sebelum arwah kembali ke negeri abadi. Mungkin itu salah satu tanda dia akan pergi namun kami tak menyedari.

Saya berpeluang bersama-sama dalam proses mengkafankan jenazah anakanda saya. Puas. Sewaktu proses mengkafankan jenazah, bilal bertugas tersenyum dan mengatakan jenazah sangat bersih. Malah kain kafan yang digunakan untuk mengkafankan jenazah, lembut seperti sutera. Katanya jarang sekali dapat kain selembut itu. Dua kali sahaja katanya iaitu sehari sebelum pemergian anakanda kesayangan saya, juga jenazah kanak-kanak. Rezeki katanya.

Hati saya gembira. Anakanda saya anak kecil yang fitrah, tidak punya dosa dan Allah pelihara serta memperlihatkan kebesaran-Nya dengan cara tersebut. Berkurang beban sendu yang saya tanggung pada waktu itu dan saya emosi saya bertambah stabil. Saya tidak mahu dia melihat saya bersedih dengan pemergiannya.

Bilal sempat bertanyakan mahukah saya mengambil gambarnya buat kali terakhir? Tidak jawapan yang saya berikan kerana saya hanya mahu mengingat memori indah bersamanya. Hingga hari ini, minda saya gagal “capture” wajah pada hari terakhirnya walau sekuat mana saya mencuba.

Allahu…mungkin ini juga petanda Allah mahu saya memahami sesuatu dan Aiman Haziq juga mungkin tidak mahu saya bersedih kerana pemergiannya ke negeri sementara. Alhamdulillah, walaupun sedih dan rindu masih lagi bertamu sesekali…oh tidak, banyak kali…saya masih mampu tersenyum. Kuat kerana anak-anak yang masih ada perlu diberikan perhatian.

Siapa tidak rindu. Apatah lagi tiba-tiba selepas maghrib tadi anak sulung saya tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Rindu pada Aiman Haziq katanya. Allahu. Moga Allah terus pinjamkan kekuatan kepada kami. Moga Allah ketemukan kami di syurgaNya.

Terima kasih kerana sudi membaca perkongsian ini. Kalian juga asbab saya kuat. Terima kasih!!!

Untuk makluman, Aiman Haziq merupakan seorang anak istimewa yang menghidap penyakit cerebral palsy. Kasih yang tak berbelah bagi seorang ibu, akhirnya menghasilkan karya buku Epistolari yang mana ada 50 pucuk surat ditujukan untuk adik Aiman Haziq. Coretan hati seorang ibu ini mungkin akan menjadi inspirasi hebat pada para ibu lain di luar sana. Buku yang mungkin membina semangat dan keyakinan baru untuk anda. Kalau nak beli, boleh hubungi Puan Siti Suhaila terus ya.

Darleen Ramli, rakan saya turut berkongsi kisah mengenai anaknya Irfan, di laman blognya bertajuk Lissencephaly and Muhammad Irfan. Pernah saya kongsikan di FB Magicalips.

Jujur, Saya kagum dengan ketabahan mereka yang setiap hari berusaha dan tabah menjaga anak-anak syurga ini. Dan saya tahu ramai para wanita dan ibu di luar sana yang berkongsi cerita berbeza, tapi rasa yang sama sebagai seorang ibu yang kasihkan anaknya. Anda perlu tahu satu perkara ini iaitu:

“Allah ada perancangan terbaik untuk anda dan juga mereka yang disekeliling anda. Semua kejadian berlaku ada sebab dan terjadi hanyalah dengan keizinanNya”

Baca Juga Bagaimana Wanita Muda Ini Mampu Beli Rumah Selepas 11 Bulan Kerja

One thought on “Bagaimana Ibu Ini Tabah Dengan Pemergian Anak Syurga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *