Hampir Ditipu RM100k Lelaki Ini Dedahkan Taktik Licik Scammer Professional

Sebenarnya buat kerja yang halal lagi senang daripada buat kerja yang haram. Kalau nak buat kerja menipu (menjadi scammer) mereka perlukan taktik yang tidak boleh dihidu untuk memperdaya mangsa. Silap langkah mangsa boleh terlepas dan mereka boleh ke dalam penjara. Lebih baik cari rezeki dengan cara yang betul dengan mengaplikasikan strategi dan usaha yang berterusan pasti hasilnya berkat.

Kisah Khairul Daim ini saya kongsikan atas persetujuannya sebagai peringatan kepada orang ramai diluar sana supaya terhindar dari taktik licik Scammer Professional yang menjalankan penipuan secara berkumpulan dan strategi yang meyakinkan.

Pada 5 bulan lepas kedai makan saya dikunjungi oleh 2 lelaki Cina. Dia perkenalkan diri sebagai Mr David dan seorang lagi ialah Uncle Wong. Mereka berhajat untuk order 50 bungkus nasi untuk Lunch dan 50 bungkus lagi untuk dinner setiap hari selama sebulan.

Bila dikira jumlah nya lebih kurang RM18,000. Mereka juga mintak harga setiap bungkusan dimarkup kan 50 sen. Ia dikira sebagai komisen sebab mereka sendiri yang akan ambil bungkusan nasi tu dan akan hantar ke tapak projek di taman connaught cheras. Saya bersetuju.

Mr David kata harga kami memang ok dan rasa pun sedap sebab dia sudah test sendiri makan nasi di sini sebelum ni.Tapi katanya dia akan bagitau bos dia (projek manager) tentang hal ni dan akan inform saya secepat mungkin. Kalau semua ok dia akan cuba mintak bos dia bagi deposit untuk saya sambil mohon untuk mintak diri dulu. Brape RM kopi dan teh ni bos?

taktik-tipu-professional
Gambar sekadar hiasan

Takpe lah Mr David, saya belanja minum. Lagipun kita sama-sama bisnes maa. U pun kasi projek kat saya. U tolong saya. Saya tolong U balik maa. Dalam hati tuhan saja yang tau betapa gembiranya dapat close deal yang bagus macam ni. Mana la tau ada rezeki nanti dia nak sambung sampai setahun.

Sebelah petang pula Mr David call saya. Katanya Manager dia dah setuju dan dia nak jumpa saya dan wife untuk bincang pasal deposit tu. Dia nak jumpa esok kul 11pagi kat Aeon cheras selatan (Jusco Balakong). Jumpa di kopitiam sebelah dalam. Saya pun bersetuju dan bagitau saya akan sampai sana tepat 11pagi esok. Wife pun gembira. Tak sabar rasanya menunggu hari esok pula.

Hari kedua. Lokasi Jusco Balakong.

Hari Khamis tepat jam 11pagi saya dan wife (Mona Mat Zain) pun tiba di Aeon Cheras selatan. Saya terus call mr David nak jumpa kat mana. Dia kata dia dan Uncle Wong dah sampai dan sedang tunggu kami di Secret Recipe. Bila kami sampai nampaklah kerusi dah disiapkan untuk 6 orang. Mungkin diorang siapkan untuk bos2 diorang kot.

Selang 5 minit Manager pun sampai. Dia perkenalkan diri sebagai Mr Lee.Mr Lee agak berumur orangnya, berjanggut putih dan sempoi orangnya hanya berpakaian santai dan bertopi Nike kaler coklat cair. Gaya pertuturannya memang nampak teratur dan fasih walaupun adakalanya ada sikit pelat. So bermulalah perbincangan kami mengenai katering bungkusan tersebut sama seperti yang dibincangkan semalamnya.

Harga Mark up 50sen pun dipersetujui oleh Mr Lee. Rupanya Mr Lee pun ada share komisen tu. Dan dia bagitau sebentar lagi boss besar Datuk Kong akan sampai juga untuk berjumpa kami dan seorang lagi untuk urusan jual beli tanah. Mr Lee kata dia akan tolong kami dengan bagitau bos suruh bagi deposit RM18000 terus hari esok. Kira sudah lock deal untuk 1 bulan. Kalau 1 bulan ok boleh sambung setahun.

Dalam hati tak berhenti ucap Alhamdulillah. Syukur ya Allah kau bantu kami dengan rezeki yang tak disangka ini. Bila semuanya sudah ok Mr Lee suruh kami tunggu sekejap sebab ada seorang kawan dia sudah sampai. Katanya urusan jual beli tanah. Mr Lee pun suruh David call segera kawannya suruh jumpa di Secret Recipe ni. Selang 2 minit, kawan mr Lee yang disebut sebut pun tiba.

Mr Lee perkenalkan dia kepada kami. Nama kawannya Mr Chong. Tanpa berlengah2 mr Chong terus keluarkan geran tanah dan 2 buku agreement jual beli dan ditunjukkan kepada Mr Lee. Mr Chong : “ini tanah saya punya adik mau jual cepat. Sekarang dia di hospital Singapore mau operation cepat. Dia sudah agree suruh saya jual RM600,000. Tapi mau Cash”

Mr Lee : “Saya kena bincang dulu sama bos, apa macam nanti saya kasi tau sama u la.”
Mr Chong :” Apa macam hari ni boleh kasi tau ka. Sy mau pakai hari ini jugak woo”
Mr Lee terus membelek dokumen2 tersebut dan kemudian serahkan kepada saya untuk semak balik dokumen original dengan salinan dokumen geran tanah yang dipegang oleh Mr Lee sebelum ini.

Saya pun terpinga2 lah jugak kenapa saya yang disuruh semak dokumen tu padahal staff dia David dan Uncle Wong ada kat sebelah. Saya dah mula syak sesuatu. Tapi hati bersangka baik lah jugak mungkin disebabkan geran tu dalam bahasa Melayu. Bila dokumen dah disahkan sahih, mr Lee bagitau Mr Chong dia akan cuba bincang dengan big boss Datuk Kong kasi payment cepat.

Mr Chong pula bagitau mesti cepat sebab wife dia pun ada nak jumpa buyer lain sekejap lagi. Mr Chong pun segera mintak diri mau cari barang sekejap dalam Jusco, nanti apa2 hal telepon dia segera. Selepas dia beransur, mr Lee pun mula bincang dengan kami. Katanya harga yang ditawarkan mr Chong tu amat murah. Harga asal tanah tu RM1 juta lebih sebelum ni. Sebenarnya tanah tu tak sampai pun 1 ekar tapi disebabkan kedudukan tanah tu terletak di hadapan kilang boss dia menyebabkan harga semakin mahal.

Setiap hari lori2 milik bos dia akan lalu kawasan tu dan dikenakan caj rm30 setiap lori. Sebulan lebih kurang hampir rm12000 bos dia terpaksa bayar kepada tuan tanah. Dulu bos dia nak beli rm1 juta pun dia tak mau jual. Sekarang sudah sakit baru sibuk mau jual. Sekarang arr… Ini tanah itu orang mau jual murah. 600k sahaja. Kita boleh kasi up rm900,000 jual sama saya punya bos.

Tapi saya mau mintak u kasi tolong jadi broker ini tanah. Kita tak boleh jual sendiri sama bos maa nanti dia bising sama kita. Nanti ada untung RM300,000 kita kongsi dua la. Kita ambil RM150,000, u amik jugak RM150,000 lorr. Amacam? RM150,000.00 cash. fuhh..Siapa tak nak? Tapi bersambung lagi…” Saya ingatkan perbincangan mengenai pembahagian untung sebanyak RM300k tu dah selesai.

Rupanya Mr Lee ada nak tambah sesuatu lagi. “Nanti itu Datuk sampai you cakap sama Datuk ini tanah mahu jual RM950,000. Kalau itu Datuk mintak kurang, you kira RM900,000 lorr. ” tambah beliau sambil mengajar saya teknik closing power. Saya bertambah risau sebenarnya. Dah la takde pengalaman langsung jadi broker tanah ni. Dengar komisen 150k tu memang sedap bunyinya tapi kena fikir juga apa risiko yang bakal menanti.

Sempat juga saya bertanya bagaimana perihal urusan dokumen dan pembayaran dari pihak kilang kepada penjual. Mr Lee mengatakan semua urusan akan dibuat secara Cash. Kemungkinan besar Datuk Kong akan beli atas akaun personal dan akan dijual semula kepada syarikat dengan margin lebih tinggi. Oh macam ni rupanya. Untung atas angin.

Senangnya diorang ni buat duit. Kaya bertambah kaya. Tapi hati saya dah mula rasa semacam. Rasa tak sedap hati. Takan la diorang ni senang senang je nak kasi kami share yang besar. Padahal diorang boleh gunakan kawan-kawan diorang sendiri.Tiba-tiba terlintas di fikiran rancangan TV kegemaran saya satu masa dulu iaitu “Hustle”. Siri TV ni mengisahkan 5 orang sahabat yang mempunyai kepakaran berbeza dan berpakat untuk mendapatkan duit secara menipu orang kaya.

Tapi mangsanya terdiri daripada orang-orang kaya yang tamak dan jahat. Cara kerja mereka memang smart dan sangat teratur sehinggakan mangsa tersebut sanggup menyerahkan berjuta dollar tapi tak berani buat report polis selepas sedar ditipu. Lebih kurang cerita TV “Leverage” dan ada juga persamaan konsep dengan filem “Ocean’s Eleven”.

Ok lah berbalik kepada cerita tadi, Datuk Kong akhirnya tiba. Memang rupa macam Datuk orangnya. Dengan berbaju batik biru dan berseluar putih dia memperkenalkan diri. “Selamat pagi. Sorry saya agak lambat sikit. Banyak urusan tadi. Ini pun saya sekejap saja. Sekejap lagi saya mahu pergi Singapore. Saya mahu tengok opis sana. Saya ada meeting petang ni” katanya yang agak fasih berbahasa Melayu berbanding dengan yang lain.

Mr Lee pun terus menerangkan pada Datuk Kong berkenaan perihal katering bungkusan dan juga situasi mengenai tanah yang ingin dijual oleh Mr Chong itu tadi. Datuk Kong bersetuju dengan semua cadangan Mr Lee. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya. Kelihatan sebungkus sampul surat kuning besar yang mengandungi sesuatu. Rasanya macam duit.

Datuk Kong : “Mr Lee, saya sudah setuju pasal itu tanah, sekarang saya bagi cash RM30k. Esok saya bagi balance U ambil di opis. U kasi itu orang dulu, kasi lock itu tanah sebelum orang lain ambil, ok..” Sekarang saya ada urgent matter dekat kilang Singapore. Saya kena pergi dulu yer. Ada apa hal U boleh bincang dengan Mr Lee. HP saya bateri sudah mau kong. Saya mintak diri dulu yer, kata datuk Kong. Selepas Datuk Kong keluar, Mr Lee mintak David segera call Mr Chong. Takut lambat-lambat nanti tak sempat nak close deal tanah tersebut.

Dalam 2 minit Mr Chong pun sampai. Agak cepat juga dia sampai. Mungkin dia ada sekitar dalam Jusco Balakong ni. Mr Lee pun terus mulakan bicara tanpa lengah lagi. Mr Lee : “Mr Chong, Ok saya punya bos sudah setuju mau beli itu tanah harga RM600,000. Tapi sekarang bos saya mau kasi deposit dulu RM30 ribu janji close deal.”

Mr Chong : “Haiya.. Ini macam la. Saya sudah cakap tadi. Saya mau cash terus RM600,000. Saya mau pakai urgent. Abang saya sudah mau operation.” You kasi tolong la sama saya. Ini harga sudah kasi U murah maa. U kasi I RM600,000 sekarang, saya terus kasi geran original. Nanti kita kasi tukar nama. Mr Lee : “Boleh kasi kurang lagi ka boss?”

Mr Chong : “Ini sudah paling murah la boss, You kasi tau boss U la, saya mau urgent cash RM600,000 ok? Ada 600k cash, confirm close deal. Saya sekarang tak boleh lama, saya mau pergi wife saya sana tengah jumpa olang mau beli ini tanah juga.”

Mr Lee : “Ok la Mr Chong, U pergi dulu, nanti I call balik. I mau tanya boss dulu apamacam.”
Mr Chong pun terus beredar segera. Mr Lee segera panggil David dan Uncle Wong untuk bincang . Saya dah mula syak sesuatu. Mr Lee bagitau kat David dan Uncle Wong, mereka mesti close deal tanah ni secepat mungkin. Mr Lee kata dia sanggup keluar duit simpanan dia sendiri di Bank berjumlah RM200,000. David pula boleh keluarkan sebanyak RM80,000 dan Uncle David pula RM50,000.

Tambah Mr Lee lagi beliau boleh dapatkan pinjaman RM100,000 daripada menantu dia. Ditambah dengan cash RM30k tadi, maka keseluruhan duit yang ada berjumlah RM460,000. Masih lagi kurang RM140k. Jeng jeng jeng. Jangkaan saya dalam hati tadi tepat. Memang selepas berbincang sesama sendiri, mereka bertanya saya pula.

Mr Lee : “Ok En Khairul, sekarang aa kita sudah kumpul 460k, lagi tak cukup 140k. Boleh tak En Khairul support lagi 140,000 hari ni. Kalau tak dapat 140k, 100k pun boleh. Balance nanti takpe saya kawtim” Saya pun pandang isteri. Dia pun pandang saya. Memang sebenarnya dalam akaun memang takde pun angka tu. Kebetulan ada payment dari pihak gomen berjumlah 5 angka masih belum masuk lagi waktu tu.

“Ok macam ni Mr Lee, saya bukan tak mau bantu U all, tapi sekarang saya punya payment katering dari gomen ada 50k masih banyak belum masuk lagi. Kalau ada pun saya boleh support 10k je dulu. Ada balance lagi untuk standby duit gaji staff dan modal untuk katering next projek. Saya tak boleh keluar semua.” kata saya dengan confident. Padahal dalam hati Allah saja yang tau. Rasanya wife saya masa tu pun masih belum dapat tangkap permainan diorang ni. Mungkin masih dibuai untung segera 150k tu tadi.

David : “En Khairul, you kena bantu lagi maa. 10k tak cukup. Kalau boleh u cari 30k la. Boleh try pinjam sama kawan atau sedara la. Modal 30k, untung 150k maa. U manyak untung maa.” Mr Lee “Takpa En Khairul, U keluar itu 10k, lagi tambah 20k u pinjam siapa siapa. Lagi balance tak cukup saya cari kawan. Janji close deal itu tanah.”

“Ok Mr Lee, sekarang saya dan wife mau pegi bank sekejap keluar duit dan pinjam duit kawan. Dah dapat nanti saya call Mr David”. Lantas saya dan wife pun segera beredar sambil ditemani David yang beriya-iya mau hantar kami ke bank dengan kereta dia tapi saya terpaksa menolak sebab lepas pergi bank, saya kena ambik anak balik dari sekolah. Sewaktu perjalanan menuju ke kereta saya beritahu wife yang semua itu tadi hanyalah scam dan lakonan mereka berlima semata-mata.

Wife saya pada mulanya macam tak percaya. Tapi bila saya bagitau semua aksi2 mereka yang mencurigakan barulah dia percaya. Astagfirullah. Macam tak percaya je kita hampir kena tipu dengan mereka. Lebih kurang pukul 2 lebih, David pun call saya beberapa kali. Mulanya malas nak jawab, tapi selepas 10 kali miss call akhirnya saya jawab juga. 

“David, saya sudah cari itu 20k tapi tak dapat la. Duit akaun pun saya boleh keluar 1k saja sebab tak cukup nak cover duit gaji staff. Sori la David, saya tak boleh join u beli tanah tu” kata saya. Sebenarnya nak mengelak bila cakap 1k tu. David : “Takpelah En Khairul, u datang je bawak 1ribu tu, nanti kita bincang la apamacam nanti boleh kawtim sama Mr Lee.”

“Ok David. Nanti saya datang sana sekejap lagi” Fuyoo… Desperate nyer sampai RM1 ribu pun kau nak sailang jugak. Ingatkan dah tak nak tadi. Tapi rupanya dia kejar jugak. Sorilah Mr David, u salah orang kali ni. Sepanjang petang tu saya terima hampir 20 call dari David. Tapi langsung saya tak jawab. Selepas tu terus senyap. Mungkin dia dah boleh agak ‘game’ diaorang tak menjadi hari ni.

Fuyoo… Desperate nyer sampai RM1 ribu pun kau nak sailang jugak. Ingatkan dah tak nak tadi. Tapi rupanya dia kejar jugak. Sorilah Mr David, u salah orang kali ni.

Sebenarnya kami agak risau jugak kalau-kalau diorang akan datang ke Belimbing Corner. Boleh jadi kacau nanti. Tapi kami tetap tawakal juga, yang penting kami tak kena tipu berpuluh ribu dengan scammer professional macam diorang tu. Maaf kalau kisah ni agak panjang tapi saya perlu huraikan dengan lebih mendalam bagi mengelakkan orang lain menjadi mangsa penipuan scammers ni di masa akan datang.

Diharap anda semua lebih berhati-hati bila mendapat peluang bisnes sebegini. Mereka ni amat bijak. Segala perancangan telah diatur dengan baik. Mula-mula meraka akan pancing dengan projek yang berkaitan dengan bisnes kita. Lepas tu mereka akan mula keluarkan umpan emas yang lebih lumayan dan menggiurkan. Dan sebaiknya bila berjumpa untuk sebarang projek kita ada berteman dan bukan berseorangan. Kena ada check dan balance. Kalau sorang silap-silap mudah hanyut.

* Maaf takde gambar diambil sewaktu perbincangan.
Silakan share pada sahabat anda.

Memang penipuan berlaku dimana-dimana. Orang kata kalau nak terkena tu, elak macam mana pun tetap akan terkena. Tapi dengan menyebarkan taktik ini kepada orang lain sedikit sebanyak boleh membantu untuk orang lain berhati-hati sekiranya mereka terjebak dengan kes yang seumpama ini.

Baca juga : Dapatkan kembali Duit Yang Ditipu Peniaga Online.

5 thoughts on “Hampir Ditipu RM100k Lelaki Ini Dedahkan Taktik Licik Scammer Professional

  1. Pingback: Hampir Ditipu RM100k Lelaki Ini Dedahkan Taktik Licik Scammer Professional - Best Blogger Network
  2. Dah macam drama..hihi..tp urusan jual beli tanah bukan ada black and white ke.. cmne dikatakan 5 org tu menipu?

    1. team up 5 orang.. masing2 mainkan peranan…. kan mmg ada black n white dalam citer ni.. dan black n white tu boleh je palsu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *